Source: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pengenalan Rukuniaga Malaysia (The Malaysian Business Code of Ethics) merupakan satu kod etika perniagaan yang berasaskan kepada nilai-nilai agama, falsafah dan budaya rakyat di negara ini. Penggubalan Rukuniaga Malaysia ini berlandaskan kepada ajaran agama, falsafah dan tradisi masyarakat majmuk di Malaysia. Ianya merupakan satu usaha Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan untuk menyemarakkan disiplin diri atau 'self regulation' di kalangan masyarakat peniaga di Malaysia. Objektif Tujuan Rukuniaga ini digubal adalah: - - Untuk menyediakan prinsip-prinsip yang boleh diterima pakai, dihayati dan diamalkan oleh semua peniaga demi kesejahteraan pengguna dan juga peniaga.
- Membantu para peniaga mengamalkan standard etika perniagaan yang tinggi di kalangan mereka supaya kepentingan semua pihak terjamin demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
- Melambangkan nilai-nilai murni sejagat yang dihasilkan daripada pegangan dan kepercayaan pelbagai agama, falsafah dan budaya di Malaysia.
Prinsip Rukuniaga Malaysia Bagi maksud tersebut, Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan telah mewujudkan enam (6) Prinsip Rukuniaga Malaysia seperti berikut: - - Berlaku Benar Dalam Amalam Perniagaan
Perilaku peniaga menuju kepada perkara-perkara benar termasuk niat dan aqad jual-beli, pemikiran, perbuatan dan pertuturan. Contoh: Peniaga tidak harus sengaja menyembunyikan kecacatan yang ada pada keluaran semata-mata untuk mengaut keuntungan. Sama juga keadaannya apabila dengan sengaja memanipulasikan bekalan sesuatu barangan bagi tujuan untuk meningkatkan harga. - Bertanggungjawab Kepada Pelanggan, Masyarakat Dan Persekitaran
Bertanggungjawab terhadap pelanggan, masyarakat dan persekitaran dalam sebarang tingkahlaku dan keputusan yang diambil. Contoh: Menjual barang dengan harga yang berpatutan atau memberikan perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran yang dikenakan. Sayugia, segala barangan atau perkhidmatan yang kualitinya setimpal dengan bayaran atau perkhidmatan yang diberi tidak menjejaskan kepentingan masyarakat dan persekitaran. - Berperikemanusian Kepada Semua Insan
Mempunyai perasaan kasih sayang dan saling menghormati sesama manusia, lemah lembut, pemurah dan saling membantu. Tingkahlaku dan keputusan yang diambil mestilah mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan bukan kepentingan perniagaan itu sahaja. Contoh: Sekiranya seorang pelanggan telah membuat kesilapan semasa pembeliannya, dan ingin menukarkan sama ada dalam bentuk barangan lain atau mendapatkan kembali wangnya, peniaga harus bersetuju demi tanggungjawab sosial terhadap semua insan. - Kesederhanaan Tingkah Laku Dalam Perniagaan
Mengamalkan sifat rendah diri, tidak bermegah-megah, tidak sombong, tidak keterlaluan, tidak tamak dan tidak berjimat cermat daripada segala segi. Contoh: Seseorang peniaga yang berjaya tidak seharusnya lupa daratan, sebaliknya masih sanggup bersikap timbang rasa serta memberi sumbangan dan sokongan kepada mereka yang memerlukannya. - Saksama Terhadap Pelanggan
Tindakan yang diambil tidak hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja, layanan sama rata tanpa mengira kaum, kelas atau darjat dan tidak berat sebelah. Contoh: Seseorang peniaga sepatutnya tidak membezakan antara pelanggan, sama ada orang kenamaan atau rakyat biasa di dalam urusan perniagaan mereka, kerana wang itu adalah sama nilainya. - Kesungguhan Menjayakan Perniagaan
Membuat sesuatu dengan tekun, rajin dan penuh kesabaran, tidak mudah mengaku kalah, berani menanggung risiko dan sanggup berusaha bermati-matian. Contoh: Apabila menceburi bidang sesuatu perniagaan, peniaga tidak seharusnya merasa gusar dengan peniaga-peniaga yang sedia ada, apa yang penting adalah bagaimana kejayaan peniaga lain dapat mendorongnya untuk berjaya. Pertanyaan lanjut mengenai Rukuniaga Malaysia, sila hubungi: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Bahagian Pembangunan Perniagaan, Aras 5 No. 13, Persiaran Perdana, Presint 2, 62623 Putrajaya, Malaysia. Hotline : 1800-886-800 Tel. : 603-8882 5500 Fax : 603-8882 5762 |
No comments:
Post a Comment